Seperti yang tertulis dalam karya lain imam Alghazali yang penting, Munqidh minadholal - The Deliverance from Error - Jalan yang paling selamat untuk mencari dan mencapai kebenaran adalah melalui tasawwuf. Dengan semangat itu saya mulakan bacaan buku ini.
Saya juga sedar teras tasawuf itu adalah akhlak dan amal, dan bukanlah cuma sekadar tahu , lebih teruk lagi tahu hanya melalui pembacaan. Tetapi bukanlah menjadi alasan untuk tidak membacanya sehingga tahu dan berusaha untuk membuahkan amal.
Untuk tidak menjadi mudah mengantuk ketika membaca tulisan Hujjatul Islam imam Alghazali, saya mulakan bacaan daripada bahagian kedua buku ini. Kerana pada bab pertama menerangkan tentang hal-hal praktikal dalam beribadah yang sudah tentu memerlukan persediaan ruhani yang kukuh, jika tidak hal-hal praktikal hanya menjadi gerak-gerak dan bicara yang lompong maknanya. Bab kedua dan ketiga adalah perihal meninggalkan maksiat, penjagaan hati, anggota tubuh dan adab-adab pergaulan dan persahabatan
.Setiap bicara imam Alghazali amat tajam menusuk hati dan mengacu tepat pada sasaran-sasarannya. Ia membongkar isi hati kita yang terdalam, mengingatkan kita akan setiap kesalahan-kesalahan yang kita terbiasa melakukan sehingga menjadi norma. Sehingga kita benar-benar malu. dan berbisik sendiri, "benar ya imam, betapa benarnya engkau sehingga menyingkap kehinaan diriku dengan relahatiku" . Kebenaran itu pahit, hanya kesedaran yang mampu menelannya bersama keikhlasan yang menjadi pemanis baginya.
Setelah nurani digeledah pada kedua dan ketiga. Semangat untuk melaksanaan segala adab melaksanakan ketaatan zahir di bab pertama itu hadir. Begitulah perihalnya buku ini, mengandaikan seperti ia bertanyakan pada kita, apakah kau telah benar-benar peroleh hidayah? atau kau sekadar berpura-pura?
Buku ini wajib menjadi bahan bacaan asas tasawuf kepada seluruh pencari kebenaran.

adakah imam memberikan alasan mengapa beliau menyusun bab-bab dalam bukunya seperti itu?
ReplyDelete